Sunday, 30 December 2012

Kewangan Stabil, Rancang Dengan Betul




KEWANGAN STABIL , RANCANG DENGAN BETUL
Kewangan yang stabil adalah jaminan penting dalam mengharungi pelbagai tuntutan kehidupan.Apatah lagi dengan corak kehidupan yang semakin mencabar pada masa kini, pastinya memerlukan struktur kewangan yang kukuh dan terancang.

Dalam memastikan perjalanan kewangan bergerak lancar seiring dengan peredaran masa, maka beberapa perkara perlu diberi perhatian, antaranya:

1.Tentukan sasaran.
Biar apapun perancangan anda, pastikan sasaran jangka pendek dan jangka panjang anda ditentukan secara jelas. Jika sasaran tahun ini anda ingin melunaskan hutang kad kredit atau kenderaan, maka ketahui tahap kemampuan dan corak perbelajaan anda. Tuliskan saran tersebut agar anda mudah mengikuti dan tidak tersasar dari apa yang diimpikan.

2.Rencanakan masa depan.
Bagi menjamin masa depan, pastikan anda mempunyai perancangan terutamanya dalam bentuk simpanan tetap. Jika masih belum mempunyai simpanan tetap secara berkala, maka gunakan peluang ini untuk membuat potongan gaji setiap bulan. Dengan cara ini, anda dapat mendisiplinkan diri untuk membuat tabungan.

3.Portpolio yang seimbang
Semak kembali portpolio aset, pelaburan dan simpanan anda. Pastikan ia bergerak lancar tanpa adanya kebocoran. Ketika ini adalah waktu yang tepat untuk anda menilai semula aset yang dimiliki. Dengan cara ini, anda mampu menentukan nilai penambahan yang boleh dibuat sepanjang tahun ini.

4.Nilai corak pengeluaran
Nilai kembali segala bentuk pengeluaran atau perbelanjaan anda pada tahun lalu. Catatkan segala bentuk perbelanjaan seperti bayaran bil, insurans, hiburan, pakaian dan keperluan harian. Melaluinya, anda dapat mengenal pasti perbelanjaan yang perlu dikurangkan atau ditambahkan seiring dengan situasi semasa.

5. Dana pelaburan.
Anda pasti tidak boleh meramal apa akan terjadi ke atas diri anda kelak. Kemalangan, hilang upaya dan dibuang kerja adalah risiko yang sukar dijangka. Oleh itu, dapatkan dana insurans/takaful bagi menjamin masa depan anda. Namun, sebelum anda membelinya , pastikan anda benar-benar memahami akan polisi dan perlindungan yang telah ditetapkan.

6.Bebaskan dari hutang.
Bebanan hutang pastinya membuatkan kehidupan anda menjadi resah dan sentiasa dihimpit dengan tekanan. Hutang kad kredit misalnya, akan terus bertambah dek kerana faedah yang dikenakan. Justeru, cubalah untuk melangsaikan hutang kad kredit anda dengan mengabaikan buat sementara waktu perbelanjaan hiburan anda.

7.Kemas kini wasiat.
Ramai yang masih kurang sedar akan kepentingan surat wasiat. Pada hakikatnya, wasiat amat penting bagi menjamin masa depan ahli keluarga anda. Dapatkan pemegang wasiat bertauliah bagi meyimpan segala amanah anda. Jika anda telah memiliki surat wasiat,kemaskini seiring dengan bertambah atau berkurangnya aset anda ketika ini.

8.Tingkatkan tabung kecemasan
Jangan mudah berpuas hati dengan tabung atau dana kecemasan yang anda miliki kini. Tingkatkan usaha anda untuk menambah jumlah simpanan. Gunakan dana ini hanya untuk tujuan kecemasan sahaja seperti pembiayaan kesihatan, berlaku bencana alam atau kehilangan pekerjaan. Melalui tabungan ini, anda tidak perlu berhutang atau menjual aset yang ada.

Friday, 28 December 2012

SC lulus skim pencen swasta CIMB-Principal

Pengantara pertama dapat kebenaran tawar dana syariah, konvensional

CIMB-Principal Asset Management Bhd (CIMB-Principal) muncul pengantara Skim Persaraan Swasta (PRS) pertama yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi skim yang ditawarkannya. Ia adalah skim konvensional CIMB-Principal PRS Plus dan skim patuh Syariah CIMB Islamic PRS Plus yang masing-masing menyediakan lima pilihan dana.

Kami percaya PRS ditawarkan CIMB-Principal adalah satu daripada penyelesaian paling menyeluruh berikutan ia menawarkan dua skim berasingan," Campbell Tupling, Ketua Eksekutif CIMB-Principal.

Ketua Eksekutif CIMB-Principal, Campbell Tupling, berkata susulan kelulusan itu, CIMB-Principal sebagai satu daripada lapan pengantara PRS yang diluluskan kerajaan, akan melancarkan kedua-dua skim persaraan berkenaan sebagai pelengkap kepada skim persaraan sedia ada untuk rakyat negara ini, selain dana pencen untuk kakitangan awam dan caruman pekerja menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami percaya PRS ditawarkan CIMB-Principal adalah satu daripada penyelesaian paling menyeluruh berikutan ia menawarkan dua skim berasingan, konvensional dan patuh Syariah.

“Kami juga menyasar menjadi peserta utama, sejajar jangkaan pertumbuhan industri PRS di negara ini, disokong pandangan ia akan menjadi penting dalam rangka kerja skim persaraan pelbagai tunggak yang diperkenalkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Didik orang ramai 

Tupling berkata, pada peringkat awal, kesedaran dan didikan awam penting memastikan pekerja dimaklumkan serta faham mengenai skim persaraan itu.


Katanya, tumpuan semerta CIMB-Principal ialah mendidik orang ramai manfaat menyimpan dalam PRS menerusi pelbagai program dan saluran pengedaran jualan Kumpulan CIMB.

CIMB-Principal juga, katanya akan bekerjasama rapat dengan pihak korporat bagi memastikan penyelesaian PRS diguna pakai sebagai sebahagian daripada pakej pampasan dan manfaat bagi menarik dan mengekalkan pekerja berbakat mereka.

PRS satu lagi inisiatif kerajaan untuk menjamin kehidupan masa depan rakyat negara ini terutama yang bekerja sendiri dan berkhidmat dalam sektor swasta.

Ia adalah skim pelaburan sukarela diluluskan SC yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan persaraan rakyat, terutama bekerja sendiri dan tidak menyertai sebarang skim persaraan bagi simpanan masa tua.

Caruman sukarela


PRS juga membuka peluang kepada majikan membuat caruman tambahan secara sukarela untuk tabungan simpanan persaraan kakitangan mereka.

Tujuh firma pengurus dana dan sebuah syarikat insurans turut dipilih serta diluluskan bagi menyediakan PRS kerajaan iaitu AmInvestment Management Sdn Bhd, Hwang Investment Management Bhd, ING Funds Bhd, Manulife Unit Trust Bhd, Public Mutual Bhd dan RHB Investment Management Sdn Bhd.

CIMB-Principal syarikat usaha sama antara CIMB Group dan kumpulan perbankan global, The Principal Financial Group dari Amerika Syarikat.

INFO: CIMB-Principal PRS Plus
Dana konvensional CIMB-Principal PRS Plus
- CIMB-Principal PRS Plus Moderate,
- CIMB-Principal PRS Plus Growth,
- CIMB-Principal PRS Plus Equity,
- CIMB-Principal PRS Plus Asia Pacific Ex Japan Equity.

Dana Syariah CIMB Islamic PRS Plus Conservative
- CIMB Islamic PRS Plus Moderate,
- CIMB Islamic PRS Plus Growth,
- CIMB Islamic PRS Plus Equity,
- CIMB Islamic PRS Plus Asia Pacific Ex Japan Equity
Tujuh pengantara lain ialah AmInvestment Management Sdn Bhd, Hwang Investment Management Bhd, ING Funds Bhd, Manulife Unit Trust Bhd, Public Mutual Bhd dan RHB Investment Management Sdn Bhd