Sunday, 30 December 2012

Kewangan Stabil, Rancang Dengan Betul




KEWANGAN STABIL , RANCANG DENGAN BETUL
Kewangan yang stabil adalah jaminan penting dalam mengharungi pelbagai tuntutan kehidupan.Apatah lagi dengan corak kehidupan yang semakin mencabar pada masa kini, pastinya memerlukan struktur kewangan yang kukuh dan terancang.

Dalam memastikan perjalanan kewangan bergerak lancar seiring dengan peredaran masa, maka beberapa perkara perlu diberi perhatian, antaranya:

1.Tentukan sasaran.
Biar apapun perancangan anda, pastikan sasaran jangka pendek dan jangka panjang anda ditentukan secara jelas. Jika sasaran tahun ini anda ingin melunaskan hutang kad kredit atau kenderaan, maka ketahui tahap kemampuan dan corak perbelajaan anda. Tuliskan saran tersebut agar anda mudah mengikuti dan tidak tersasar dari apa yang diimpikan.

2.Rencanakan masa depan.
Bagi menjamin masa depan, pastikan anda mempunyai perancangan terutamanya dalam bentuk simpanan tetap. Jika masih belum mempunyai simpanan tetap secara berkala, maka gunakan peluang ini untuk membuat potongan gaji setiap bulan. Dengan cara ini, anda dapat mendisiplinkan diri untuk membuat tabungan.

3.Portpolio yang seimbang
Semak kembali portpolio aset, pelaburan dan simpanan anda. Pastikan ia bergerak lancar tanpa adanya kebocoran. Ketika ini adalah waktu yang tepat untuk anda menilai semula aset yang dimiliki. Dengan cara ini, anda mampu menentukan nilai penambahan yang boleh dibuat sepanjang tahun ini.

4.Nilai corak pengeluaran
Nilai kembali segala bentuk pengeluaran atau perbelanjaan anda pada tahun lalu. Catatkan segala bentuk perbelanjaan seperti bayaran bil, insurans, hiburan, pakaian dan keperluan harian. Melaluinya, anda dapat mengenal pasti perbelanjaan yang perlu dikurangkan atau ditambahkan seiring dengan situasi semasa.

5. Dana pelaburan.
Anda pasti tidak boleh meramal apa akan terjadi ke atas diri anda kelak. Kemalangan, hilang upaya dan dibuang kerja adalah risiko yang sukar dijangka. Oleh itu, dapatkan dana insurans/takaful bagi menjamin masa depan anda. Namun, sebelum anda membelinya , pastikan anda benar-benar memahami akan polisi dan perlindungan yang telah ditetapkan.

6.Bebaskan dari hutang.
Bebanan hutang pastinya membuatkan kehidupan anda menjadi resah dan sentiasa dihimpit dengan tekanan. Hutang kad kredit misalnya, akan terus bertambah dek kerana faedah yang dikenakan. Justeru, cubalah untuk melangsaikan hutang kad kredit anda dengan mengabaikan buat sementara waktu perbelanjaan hiburan anda.

7.Kemas kini wasiat.
Ramai yang masih kurang sedar akan kepentingan surat wasiat. Pada hakikatnya, wasiat amat penting bagi menjamin masa depan ahli keluarga anda. Dapatkan pemegang wasiat bertauliah bagi meyimpan segala amanah anda. Jika anda telah memiliki surat wasiat,kemaskini seiring dengan bertambah atau berkurangnya aset anda ketika ini.

8.Tingkatkan tabung kecemasan
Jangan mudah berpuas hati dengan tabung atau dana kecemasan yang anda miliki kini. Tingkatkan usaha anda untuk menambah jumlah simpanan. Gunakan dana ini hanya untuk tujuan kecemasan sahaja seperti pembiayaan kesihatan, berlaku bencana alam atau kehilangan pekerjaan. Melalui tabungan ini, anda tidak perlu berhutang atau menjual aset yang ada.

No comments:

Post a Comment